Dalam sebuah perkampungan yang damai lagi sejahtera, terdapat dua keluaga yang hidup berjiran, dua keluaga ini ada banyak persamaan, kedua-duanya beristeri, mempunyai cahaya-mata, memiliki ternakan dan tempat tinggal. Tapi, kelainan diantara dua jiran ini adalah taraf hidup mereka, Miskin dan kaya. Yang kaya memelihara sepasang lembu, yang pada pengamatannya, apabila lembu itu membiak tentulah ianya akan dapat menambahkan lagi kekayaannya. Keluarga miskin pula, mempunyai sepasang kuda hasil peninggalan kedua arwah ibu-bapanya.
Selang beberapa bulan, pada waktu yang sama, kedua-dua ternakan ini melahirkan anak, yang kaya mendapat anak lembu yang sihat, manakala yang miskin mendapat anak kuda yang cantik. Miskin dan kaya berasa sungguh gembira di atas kurniaan itu.
Besoknya, yang kaya tergerak hatinya untuk melihat anak kuda jirannya setelah diberitahu oleh isterinya akan kelahiran ternakan yang miskin. Kedatangan yang kaya telah diberi layanan seadanya oleh yang miskin. Setelah puas hati, yang kaya kembali ke rumahnya. Dalam pejalanan pulang, hatinya seakan terusik dengan apa yang telah dilihat tadi. Perasaan itu terbawa-bawa sehingga ke malam hari. Tak tertahan dengan jeritan batinnya, akhirnya yang kaya meluahkan perasaan kepada isterinya.
“Aku merasa amat tertarik hati sekali dengan anak kuda si miskin”
Isterinya membisu seribu bahasa kerana beliau amat arif sekali akan sifat suaminya yang tak pernah menerima sebarang pandangan atau pendapatnya sepanjang usia perkahwinan mereka. Melihat tiada reaksi daripada isterinya, yang kaya masuk ke bilik tidurnya. Sambil berbaring dan meletakkan tangan diatas dahinya, yang kaya terfikir alangkah baiknya kalau dia yang mempunyai anak kuda yang cantik itu. “Memang selayaknya anak kuda yang secantik menjadi milik aku, kerana orang kaya seperti aku, berhak kepada sesuatu yang cantik”. Yang kaya memerah otaknya mencari jalan untuk memiliki anak kuda tersebut sehingga ia terlena.
Paginya, yang kaya telah pergi untuk berjumpa yang miskin.
“Aku rasa kau telah tertukar anak lembu dengan ku” Kata yang kaya.
“Saya tidak faham akan perkataan mu, tuan” balas yang miskin.
“Ini anak lembu ku, bagaimana ia boleh berada disini?” sambil tangan yang kaya menuding kepada anak kuda yang miskin.
“Saya bertambah keliru, mana mungkin, inikan anak lembu saya, masakan tuan sudah tidak dapat membezakan diantara anak kuda dan lembu” kata yang miskin sambil digarunya kepala yang tidak gatal.
“Nampaknya kau ini yang sasau, tidak berguna aku bertengkar dengan orang miskin lagi bodoh, aku akan bawa masalah ini ke mahkamah, biar hakim yang bijaksana yang menentukannya” marah yang kaya sambil berjalan menuju ke mahkamah.
Hari perbicaraan pun tiba, perbicaran berlansung dengan kedua-dua miskin dan kaya memberi keterangan masing-masing.
“Inilah kali pertama saya mengadili kes yang sebegini rupa, amat pelik dan hairan sekali” celah tuan hakim.
“Saya tidak dapat membuat keputusan. Jadi, saya menangguhkan kes ini ke lain masa” tuan hakim menambah.
“Aku tidak puas hati, kenapa tuan hakim perlu menangguhkan kes ini, kenapa tiada keputusan hari ini” Sampuk yang kaya.
“Saya tidak dapat menghakimi kes ini sekarang kerana saya dating haid” jawab hakim.
“Hairan, bagaimana tuan hakim yang lelaki begini boleh datang haid, sedangkan haid hanya datang kepada orang perempuan sahaja” giliran yang kaya pula menggaru kepala yang tidak gatal.