Tuesday, May 25, 2010

Allah menjawab dalam setiap bacaan al-Fatihah

:salam

Bismillahirrahmanirrahim

Riwayat Muslim 3/94, hadis no 904

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَسَمْتُ الصَّلاَةَ بَيْنِى وَبَيْنَ عَبْدِى نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ ( الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ). قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِى عَبْدِى وَإِذَا قَالَ (الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ). قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَىَّ عَبْدِى. وَإِذَا قَالَ (مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ). قَالَ مَجَّدَنِى عَبْدِى - وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَىَّ عَبْدِى - فَإِذَا قَالَ (إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ). قَالَ هَذَا بَيْنِى وَبَيْنَ عَبْدِى وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ. فَإِذَا قَالَ (اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ ). قَالَ هَذَا لِعَبْدِى وَلِعَبْدِى مَا سَأَلَ

Allah berfirman : Aku telah membahagikan solat antaraku dan antara hambaku dua bahagian. Dan bagi hambaku apa ia pinta. Maka apabila hamba berkata (Alhamdulillahirabbil alamin). Allah Taala menjawab : Hambaku memujiku. Dan apabila ia berkata (Arrahmanirrahim). Allah berfirman : Hambaku telah memuja muji ke atasku. Dan apabila ia berkata (Malikiyaumiddin). Allah menjawab : hambaku memuliakan aku - dan ia berkata hambaku menyerahkan kepadaku - Dan apabila dia berkata (Iyyakana'budu wa iyyakanasta'in). Dia berfirman : Ini diantaraku dan antara hambaKu, dan untuk hambaKu apa yang ia pinta. Dan apabila ia membaca (Ihdinassirotolmustaqim..........waladdollin). Maka Allah menjawab : Ini adalah untuk hambaku, dan baginya apa yang ia minta.

:wassalam

Friday, May 14, 2010

Bicara tentang RINDU

Alhamdulillah diberikan juga peluang oleh Allah taala untuk tulis post yang terbaru ini. Kali ini kita akan berbicara tentang rindu.

Kesinambungan daripada cinta maka akan terbit perasaan rindu pada yang dicintai. Para pejuang Allah taala yang mencintai Tuhannya pasti akan merindui syahid. Seorang suami yang mencintai isterinya pasti akan merindui isterinya jika berjauhan. Begitulah seterusnya.

Rindu menurut para ulama ialah sesuatu perkara yang berlaku kerana terlalu mencintai seseorang. Maka terkadang rindu dibaluti dengan sikap berjaga-jaga. Terkadang ada juga yang terlalu berlebih-lebihan dalam mengungkapkan kalimah rindu sehingga melangkaui batas yang diletakkan oleh Syarak.

Bukanlah semua rindu itu sesuatu yang tidak baik dan menjijikkan. Kerana rindu yang dihiasi dengan iman dan taqwa akan menatijahkan sesuatu yang terbaik bagi sang perindu.

Rindu seperti yang kita ketahui, merupakan perkara yang berlaku selepas hadirnya cinta. Maksudnya, bila cinta mekar maka rindu akan hadir secara tidak langsung. Rindu juga adalah merupakan amalan hati yang mana manusia tiada kuasa untuk menghalangnya.

Menurut Syeikh al-Qadhi Muhammad Ahmad Kan’an , seorang perindu yang benar-benar menjaga dan menyembunyikan perasaan tersebut daripada pengetahuan orang lain akan mendapat pahala dan ganjaran di atas mujahadah yang dilakukannya. Bahkan al-Imam Tahtawi radhiyallahu anhu menyebutkan di dalam hasyiyah Muraqi al-Falah (kitab fiqh Mazhab Abu Hanifah) , beliau menukilkan perkataan daripada al-Imam Suyuti radhiyallahu anhu :

“ Orang yang menyembunyikan perasaan rindu sebegini kepada seseorang yang dirinduinya maka jika dia mati dalam keadaan tersebut akan mendapat ganjaran seumpama golongan Syahid akhirat”.

Biar kefahaman lebih jelas, elok kiranya saya terangkan pembahagian syahid di sisi para ulama. Terdapat tiga jenis syahid seperti yang diterangkan oleh para ulama yang mensyarahkan kitab Jauharah Tauhid .

Pertama: Syahid Dunia- Ini merupakan golongan yang berjuang di jalan Allah(berjihad) tetapi niat mereka bukanlah ikhlas kerana Allah taala, malah untuk mendapatkan pujian dan penghargaan. Maka jika mereka mati ketika berperang dalam keadaan sebegini akan digelarkan Syahid dunia. Ini kerana semua orang melihat seolah-olah mereka mati syahid di dunia ini sedangkan mereka langsung tidak mendapatkan apa-apa ganjaran di sisi Allah taala di akhirat kelak.

Kedua: Syahid Akhirat- Ini merupakan golongan yang pada pandangan mata manusia mereka tidaklah kelihatan sedang berperang di jalan Allah taala. Tetapi jika mereka mati maka mereka akan memperolehi pahala dan ganjaran seumpama orang yang mati syahid. Contohnya seperti yang disebutkan di dalam hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam, ibu yang mati ketika melahirkan anaknya, orang yang mati kerana lemas, orang yang mati kerana sakit perut dan taun, orang yang mati kerana menahan rindu dan cinta terhadap seseorang dan dia menjaga dirinya, orang yang mati ketika menuntut ilmu dan lain-lain. Secara zahirnya kita langsung tidak melihat mereka mati dalam keadaan syahid. Tetapi di akhirat kelak, mereka akan mendapatkan ganjaran seperti orang yang mati syahid. Oleh kerana itulah mereka digelarkan Syahid Akhirat.

Ketiga: Syahid Dunia dan Akhirat- Ini merupakan golongan yang berjuang di jalan Allah taala dan mereka benar-benar ikhlas di jalan Allah.Jika mereka terbunuh ketika peperangan tersebut maka mereka digelarkan syahid dunia dan akhirat. Ini kerana di dunia manusia semua menjadi saksi bahawa golongan ini berjuang dan di akhirat juga mereka akan datang dengan pahala sebagai orang yang mati syahid di jalan Allah taala.

Maka jelaslah bagi kita, sang perindu juga (sama ada wanita atau lelaki) yang benar-benar menjaga rindunya terhadap kekasihnya dengan tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Syarak maka jika dia mati di dalam keadaan sebegini akan memperolehi pahala orang yang syahid di akhirat kelak. Moga Allah menggolongkan kita dikalangan orang yang bersikap perindu sebegini.

Jika kita memahami sebenar-benarnya maksud yang diterangkan oleh ulama, maka kita akan merasa tenang hati. Masih ramai yang tidak memahami maksud rindu dan cinta. Malah sehingga menganggap jika seseorang mencintai seseorang yang lain maka sebenarnya dia telah melakukan sesuatu yang dicegah oleh syarak. Fahaman sebegini perlulah diperbetulkan. Kesalahannya bukan pada sifat cinta tersebut, yang menjadi kesalahannya ialah bagaimana orang yang punya perasaan cinta itu menunjukkan kecintaannya dan kerinduannya.

Islam adalah agama fitrah. Cinta dan rindu adalah fitrah seorang insan. Islam datang untuk menunjukkan cara sebenar mengendalikan cinta dan rindu. Bukannya menafikan rindu dan cinta itu hadir dalam kehidupan seseorang.

Perbuatan orang yang bercinta itu yang perlu dipersoalkan kerana mendahulukan nafsu daripada iman yang terdapat dalam sanubari mereka.

Jangan terlalu membenci cinta. Sudah banyak saya perhatikan orang yang menentang cinta yang hadir dalam dirinya dengan tentangan yang padu, akhirnya dia sendiri tersungkur dan menjadi orang yang lebih teruk daripada orang yang tidak membenci cinta sepertinya.

Saya menulis sebegini bukan untuk mengalakkan pasangan untuk bercinta. Bukan itu tujuan saya. Tujuan saya biarlah orang benar-benar faham apa itu cinta yang dimaksudkan oleh syarak.Apa itu rindu yang sebenar. Cinta dan rindu bukan hanya tertumpu pada lelaki dan wanita. Jika difahami sedemikian maka terlalu sempit pemahamannya. Cinta dan rindu itu umum.

Tanpa cinta maka kita akan berbalah tanpa meletakkan sedikit kecintaan pada sahabat seagama kita. Tanpa cinta maka kita tidak akan memandang seseorang yang berbeza pendapat dengan kita dengan pandangan yang mulia. Tanpa cinta semua akan jadi pincang. Ini hikmahnya Allah taala ciptakan cinta. Bukan untuk disalah gunakan. Tapi untuk dimanfaatkan sebaiknya.

Biar orang membenci, tapi hati kita tetap mencintai.Biar orang lupakan kita, tapi kita tetap merindui . Fikir-fikirkanlah.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH MESIR

artikel ini dipetik dari nazrulnasir.blogspot.com