Fatwa Terkini
Hukum Menggantung Kalimah Tertulis الله Dan محمد
1. Menggantung kalimah lengkap Allah ‘Azza Wa Jalla ataupun Allah Jalla Jalaluh dan Muhammad Rasulullah Sallallah ‘Alaih Wa Sallam adalah diharuskan, sebaliknya jika tulisan itu boleh mengelirukan umum, seperti kalimah tunggal Allah dan Muhammad yang digantung segandingan, maka tidak diharuskan kerana ia mengandungi maksud muwazanah (menyama-taraf) yang mengelirukan.
2. Menggantungkannya dengan maksud mengambil Barakah dan seumpama dengannya adalah diharuskan. Adapun jika dengan maksud istihza’ (mempersendakan), maka ia adalah diharamkan.
------------------------------------------------------
Keputusan Jawatankuasa ini telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan telah diperakukan dalam mesyuarat yang bersidang pada 19 April 2011. Keputusan ini juga telah disembah maklum kepada DYMM Tuanku Raja Perlis.
Pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Berkaitan Pembinaan Tugu “1Malaysia”
Membina replika tugu ‘1Malaysia’ adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab sebagaimana yang ditegah di dalam surah al-Maidah ayat 90:
Tegahan ini juga berdasarkan kaedah Sadd al-Zara’i (menutup pintu kemudharatan) bagi memelihara kemurnian akidah, ini sebagaimana larangan Baginda SAW terhadap para sahabat yang ingin menjadikan pokok Zat Anwath sebagai tempat berkumpul. (Hadith riwayat al-Tirmizi dan katanya: “Hadith ini Hasan Sahih”. Ia juga dinilai Sahih oleh al-Haithami, Ahmad Syakir dan al-Albani)
Selain daripada itu kewajaran tegahan ini juga dilihat dari sudut pembaziran yang diharamkan oleh Islam.
--------------------------------
Keputusan Jawatankuasa ini telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan telah diperakukan dalam mesyuarat yang bersidang pada 19 April 2011. Keputusan ini juga telah disembah maklum kepada DYMM Tuanku Raja Perlis.